Sunday, April 8, 2012

KARANGAN LAPORAN

LAPORAN PERTANDINGAN MENULIS CERPEN KANAK-KANAK

PUSAT SUMBER SEKOLAH KEBANGSAAN TUN FATIMAH

Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Tun Fatimah telah menganjurkan pertandingan menulis cerpen kanak-kanak bagi mencungkil bakat penulisan dalam kalangan murid. Pengumuman pertandingan telah dibuat pada awal bulan Mac 2011.

Murid-murid dikehendaki menulis cerpen berkisar dengan dunia kanak-kanak. Panjang cerpen adalah lebih kurang 300 hingga 500 patah perkataan. Cerpen-cerpen yang berjaya akan dibukukan dan diedarkan untuk dijadikan bahan bacaan di perpustakaan sekolah.

Setelah pengumuman dibuat, sambutan yang diberi sungguh menggalakkan. Terdapat lebih daripada 50 buah cerpen telah dihantar dalam tempoh dua bulan masa yang diperuntukkan. Karya-karya yang dihantar sungguh menarik, bahkan terdapat juga cerpen yang ditulis disertai dengan ilustrasi.

Panel hakim telah dilantik untuk memilih cerpen yang terbaik. Mereka diketuai oleh Cikgu Zamzam sebagai Ketua Hakim, Cikgu Nori, Cikgu Munirah dan Cikgu Mariani selaku wakil pusat sumber. Hasil daripada perbincangan, hakim telah bersetuju untuk memilih cerpen berjudul "Semalam di Planet Pluto" hasil tulisan Mohd. Taufik dari Tahun Enam Ceria sebagai johan, naib johannya, cerpen berjudul "Si Gondrong yang Berani", tulisan Fauzi Zawawi dari Tahun Enam Ceria dan tempat ketiga dimenangi oleh Ahmad Haikal dari Tahun Enam Bistari dengan cerpennya berjudul "Semangat Gunung Kinabalu".

Semua pemenang menerima hadiah yang telah disampaikan oleh guru besar. Selain itu, terdapat lima hadiah saguhati juga diberi.

Pihak Pusat Sumber sekolah bercadang akan mengadakan pertandingan seperti ini lagi pada tahun-tahun yang akan datang kerana sambutan yang sungguh menggalakkan.


Laporan disediakan oleh,

10 MAC 2012.


Noraini
(NORAINI YAHYA)
Setiausaha,
Pusat Sumber,
Sekolah Kebangsaan Tun Fatimah.

LAPORAN KEGIATAN PERSATUAN SAINS

SEKOLAH KEBANGSAAN SRI CEMERLANG


Persatuan Sains sekolah ini ditubuhkan pada tahun 2000 yang kini mempunyai keahlian seramai 60 orang. Mereka terdiri daripada murid-murid tahap dua. Persatuan ini diwujudkan untuk meningkatkan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran Sains. Selain itu, melalui persatuan ini juga murid-murid dapat bertukar-tukar pendapat dan memenuhi masa lapang mereka dengan kegiatan yang berfaedah.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 2011. Kegiatan itu berbentuk akademik dan bukan akademik. Kegiatan pertama yang telah dijalankan ialah peraduan menulis cerita fiksyen Sains. Sambutan murid-murid di luar jangkaan. Peraduan ini dimenangi oleh Faizah binti Abdullah, murid Tahun Enam Arif.

Pihak persatuan juga menganjurkan ceramah tentang kepentingan pelajaran Sains. Ceramah itu telah disampaikan oleh seorang doktor pakar. Ceramah ini terbuka kepada semua murid tahap dua. Sambutannya amat menggalakkan. Dewan penuh-sesak dengan murid-murid.

Selain itu, pihak persatuan juga mengadakan gotong-royong bersama-sama ibu bapa membersihkan kawasan sekolah. Mereka telah menanam pokok-pokok bunga dan menamakannya mengikut istilah Sains. Pokok-pokok itu hidup subur dengan penjagaan yang sempurna.

Persatuan ini juga telah menganjurkan pameran dan pertandingan mencipta pada bulan Mei yang lalu. Pameran dan pertandingan itu terbuka kepada semua murid. Dalam pertandingan itu, model taman rekreasi telah terpilih sebagai johan. Model ini dicipta oleh lima orang murid Tahun Enam Cemerlang. Mereka telah mendapat hadiah piala pusingan dan wang tunai.

Pada masa cuti setengah tahun, mereka telah mengadakan lawatan ke Muzium Negara. Lawatan itu telah banyak memberi pengalaman kepada murid-murid yang mengikuti rombongan itu.

Laporan disediakan oleh, 10 MAC 2012.


Noraini
(NORAINI YAHYA)
Setiausaha,
Persatuan Sains

Sekolah Kebangsaan Sri Cemerlang

Laporan Lawatan ke Muzium Negeri Perak


Pada 20 Jun yang lalu, bersamaan hari Ahad, Persatuan Kajian Tempatan Sekolah Kebangsaan Mukim Lima, Ipoh telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium Negeri Perak. Lawatan yang disertai oleh 40 orang murid itu diiringi oleh empat orang guru pengiring.

Rombongan kami sampai di pekarangan muzium pada kira-kira jam 10.00 pagi iaitu setelah satu jam perjalanan. Seorang wakil dari muzium telah menyampaikan sedikit taklimat berkenaan muzium tersebut. Pada mulanya, kami telah dipertontonkan dengan tayangan Sejarah Negeri Perak. Kami diberi penerangan tentang sejarah negeri Perak.

Selepas mengetahui serba-sedikit tentang negeri Perak, kami dibawa pula ke galeri sejarah. Di situ, kami berkesempatan melihat barang-barang sejarah. Pelbagai barang dipamerkan, antaranya ialah senjata zaman dahulu, pakaian, peralatan memasak dan pelbagai lagi barang kegunaan zaman dahulu.

Tepat jam 2.00 petang, rombongan kami telah berada di dalam perut bas untuk lawatan seterusnya. Lawatan kami berakhir dengan kegembiraan dan berharap tujuan lawatan untuk memberi kesedaran sejarah kepada pelajar tercapai.


Disediakan oleh,


26 JUN 2012.

Nirmala
(NIRMALA NAINA)
Setiausaha,
Persatuan Kajian Tempatan,
Sekolah Kebangsaan Mukim Lima.

Laporan Tahunan Persatuan Bulan Sabit Merah

Sekolah Kebangsaan Batu Melintang


Persatuan Bulan Sabit Merah Sekolah Kebangsaan Batu Melintang telah ditubuhkan pada tahun 1998 dengan keahliannya seramai 25 orang. Kini, pada tahun 2012 ahli persatuan telah meningkat kepada 125 orang.

Pemimpin Persatuan Bulan Sabit Merah ini pada awalnya bukanlah daripada guru sekolah ini tetapi mulai pada tahun 2000 guru-guru dari sekolah ini telah dihantar berkursus dan seterusnya ditugaskan memimpin Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah ini.

Ahli-ahlinya adalah terdiri daripada murid-murid tahun empat, lima, dan enam. Mereka menjalankan pelbagai aktiviti. Antaranya, berkawat, latihan merawat kecederaan semasa kecemasan, perkhemahan, dan tidak ketinggalan khidmat masyarakat.

Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah ini sememangnya telah terkenal di seluruh kawasan Batu Melintang kerana keaktifan pasukannya yang sentiasa berkhidmat di samping memenangi beberapa pertandingan yang disertai.

Dengan ini diharapkan agar persatuan ini akan terus berkembang dan maju pada masa-masa hadapan.


Laporan disediakan oleh, 20 OKTOBER 2012


Nazari
(MOHD NAZARI BIN MOHAMAD)
Setiausaha,
Persatuan Bulan Sabit,
Sekolah Kebangsaan Batu Melintang.

Laporan Tahunan Pusat Sumber

Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim


Pada 13 Januari 2012 (Isnin), Jawatankuasa Perpustakaan Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim telah mengadakan perjumpaan pertamanya dengan Jawatankuasa Pusat Sumber sekolah ini. Hasil perjumpaan tersebut, Unit Pusat Sumber Sekolah akan dikendalikan oleh lima orang guru iaitu :

  1. Puan Noraini Ismail
  2. Puan Bahyah Baharin
  3. Puan Hanisah Hamat
  4. Encik Shamsuddin Mohamad
  5. Encik Kamil Ismail

Sehubungan itu, Unit Pusat Sumber Sekolah telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada 15 Januari 2012 yang diketuai oleh Puan Noraini. Dalam mesyuarat tersebut, mereka telah merancang aktiviti untuk tahun 2012. Antara aktiviti yang dirancang ialah Program Galakan Membaca, kuiz, pertandingan bercerita, mewarna, pertandingan menulis cerita dan dibukukan, serta pertandingan banyak membaca.

Dari segi jumlah buku pula, sebanyak 500 buah buku telah dibeli sebagai tambahan kepada buku yang telah sedia ada. Anggaran pada tahun ini ialah seorang murid akan membaca sebanyak 20 buah buku.

Sementara itu, Unit Pusat Sumber Sekolah juga telah melantik 25 orang pustakawan untuk menyelenggarakan perpustakaan. Buku-buku diberi pinjam kepada murid Tahun Dua hingga Tahun Empat. Mereka diberi pelbagai insentif agar banyak membaca buku.

Sebagai ganjaran kepada murid yang banyak membaca, mereka akan diberi hadiah pada setiap kali diadakan perhimpunan mingguan.

Laporan disediakan oleh,

17 JANUARI 2012.


Aini
(NORAINI BINTI ISMAIL)
Ketua Unit Perpustakaan,
Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim.

Laporan Program Motivasi UPSR 2012

Rukun Tetangga Cawangan Taman Indah


Rukun Tetangga Cawangan Taman Indah telah menganjurkan Program Motivasi UPSR pada 18 Januari 2012 yang lalu. Program ini adalah untuk memberi kesedaran dan meningkatkan pencapaian UPSR anak-anak kami. Program ini berlangsung selama satu hari bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 11.00 malam.

Encik Abdul Aziz Kamal, selaku Pengerusi Rukun Tetangga Cawangan Taman Indah dalam ucapan perasmiannya berharap agar program ini akan berjaya dan memberi manfaat kepada peserta. Pada tahun-tahun yang akan datang, program seperti ini akan diadakan pula untuk pelajar-pelajar PMR, SPM dan STPM.

Selain memberi kesedaran dan meningkatkan pencapaian, program ini juga bertujuan untuk memberi keyakinan diri kepada peserta dan melahirkan rasa tanggungjawab kepada kedua-dua orang ibu bapa mereka.

Peserta program telah dibimbing oleh jawatankuasa program di samping dua orang penceramah jemputan yang menyampaikan ceramah motivasi. Penceramah tersebut ialah Encik Rosdi Noor dan Tuan Haji Rani. Kedua-dua orang penceramah tersebut mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini.

Program Motivasi UPSR Rukun Tetangga Cawangan Taman Indah berakhir sebagaimana yang dijadualkan. Pihak penganjur berharap program ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Laporan disediakan oleh,

3 FEBRUARI 2012.


Amran
(AMRAN MUSTAFFA)

Laporan Aktiviti Merentas Desa

Sekolah Kebangsaan Jalan Damai


Pada 29 Jun 2012, Unit Sukan Sekolah Kebangsaan Jalan Damai telah mengadakan aktiviti Merentas Desa. Aktiviti tersebut merupakan aktiviti tahunan yang bertujuan untuk melatih murid-murid mempunyai kekuatan diri dari segi mental dan fizikal.

Seramai 120 orang telah turut serta dalam aktiviti tersebut. Masing-masing mewakili pasukan Hijau, Biru, Kuning dan Merah. Mereka terbahagi kepada empat kategori, iaitu :

  1. Lelaki Tahun 5 dan 6
  2. Lelaki Tahun 4
  3. Perempuan Tahun 5 dan 6
  4. Perempuan Tahun 4

Larian peserta-peserta bermula dari padang Sekolah Kebangsaan Jalan Damai, Kampung Beseri, Jalan Kubor, Titian Damai dan berakhir di padang sekolah. Guru besar telah bersetuju untuk menjadi pelepas peserta-peserta merentas desa. Mereka memulakan larian jam 8.00 pagi. Seramai dua orang guru ditempatkan di setiap laluan larian sepanjang 3 kilometer itu.

Peserta pertama yang tiba ialah peserta Tahun Empat, Asrul Ali. Dia telah mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton. Seramai 10 orang dipilih daripada setiap kategori sebagai pemenang. Mereka telah menerima hadiah daripada Tuan Guru Besar, Tuan Haji Kamaruddin Mahmood.

Aktiviti Merentas Desa pada hari itu berakhir pada jam 12.00 tengah hari.

Disediakan oleh,

15 JULAI 2012.

Abdul Aziz
(ABDUL AZIZ B DAUD)
Setiausaha Sukan,
Sekolah Kebangsaan Jalan Damai.

No comments:

Post a Comment